Bagaimana mengenal pasti ubat-ubatan berdaftar?

Semua produk farmaseutikal termasuk suplemen kesihatan dan ubat-ubatan tradisional perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum dipasarkan di Malaysia. Penilaian terhadap produk perlu dijalankan bagi memastikan kualiti, dan keselamatan produk farmaseutikal serta ubat-ubatan traditional terjamin untuk digunakan oleh masyarakat Malaysia. Selain itu, penilaian keberkesanan juga dijalankan bagi memastikan produk farmaseutikal yang berada dipasaran tempatan adalah berkesan.

Produk yang berdaftar dengan PBKD mempunyai dua ciri-ciri utama iaitu:

  1. Nombor Pendaftaran MAL
  2. Pelekat Hologram FarmaTagTM

Kedua-dua ciri ini perlu dipamerkan pada setiap pek jualan ubat-ubatan.

 

Nombor Pendaftaran MAL

Nombor pendaftaran MAL dimulakan dengan 'MAL', diikuti dengan 8 angka, dan diakhiri dengan kod produk.

Contoh Nombor pendaftaran MAL :    MAL12345678X

Maksud bagi setiap Kod Produk adalah seperti yang berikut:

A:         Ubat terkawal (Ubat preskripsi)

X:         Ubat terkawal tanpa preskripsi atau ubat over-the-counter (OTC)

T:         Ubat tradisional

N:        Suplemen kesihatan contohnya vitamin atau mineral

 

Pelekat Hologram FarmaTagTM

Ketulenan Pelekat Hologram boleh disemak menggunakan :

a. Dekoder

Pengguna juga boleh memeriksa ketulenan hologram FarmaTagTM yang terdapat pada kotak produk menggunakan dekoder yang terdapat di semua premis farmasi berlesen dan pejabat Cawangan Penguatkuasaan Farmasi di setiap negeri.

b. Aplikasi FarmaTag Checker

Aplikasi ini boleh di muat turun secara percuma daripada Google Play, App Store atau Huawei AppGallery.

 

Sebelum menggunakan ubat-ubatan, pastikan produk tersebut mempunyai Nombor Pendaftaran MAL dan Pelekat Hologram FarmaTagTM. Pengguna juga boleh menyemak status pendaftaran produk farmaseutikal melalui:

a. Laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)

Pautan laman sesawang NPRA adalah https://www.npra.gov.my/. Pengguna boleh menggunakan butang                “Produk Status” untuk memulakan pencarian.  

b. Aplikasi MediQuest

Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma melalui aplikasi Android Google Play (untuk pengguna                  telefon bimbit jenis android) atau OS Apps Store (untuk pengguna telefon bimbit jenis iPhone).

You voted 'down'.