Umum

Adakah iklan makanan boleh mempunyai tuntutan perubatan seperti mengurangkan paras gula dalam darah?

Iklan makanan tidak dibenarkan meletakkan sebarang tuntutan perubatan. Mengurangkan paras gula dalam darah adalah dianggap sebagai tuntutan perubatan. Kencing manis adalah salah satu daripada 20 jenis penyakit yang tidak boleh diiklankan seperti diperuntukkan di bawah Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956. 

Adakah LIU membenarkan iklan mengenai produk berkenaan keguguran rambut?

Sekiranya iklan keguguran rambut melibatkan produk farmaseutikal, iklan tersebut perlu mendapatkan kelulusan LIU. Iklan tersebut tidak dibenarkan mempunyai tuntutan atau pernyataan bahawa:

  • Kebotakan boleh dicegah 
  • Keguguran rambut boleh dihentikan
  • Merangsang dan menggalakkan pertumbuhan rambut

Kenapa LIU membuat terlalu banyak pindaan pada format iklan yang dihantar?

Sebarang kelulusan pada format iklan adalah berdasarkan kepada Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 dan peraturannya. Selain itu, semua format iklan perlu mematuhi garis panduan pengiklanan dan polisi yang dikeluarkan oleh Lembaga Iklan Ubat. Mana-mana tuntutan dan format iklan yang tidak mematuhi akta, garispanduan dan polisi, LIU berhak meminda tuntutan dan format tersebut.

Adakah pindaan kecil seperti pertukaran atau susun atur gambar boleh dilakukan terhadap format iklan yang telah diluluskan oleh LIU?

Sebarang perubahan pada format iklan yang telah diluluskan perlu mendapatkan kelulusan semula daripada LIU terlebih dahulu. Permohonan pindaan boleh dikemukakan dalam tempoh dua (2) bulan dari tarikh kelulusan iklan.

Adakah iklan perubatan melalui internet memerlukan kelulusan LIU?

Sebarang jenis penyebaran maklumat mengenai produk dan perkhidmatan kesihatan boleh di klasifikasikan sebagai iklan termasuklah melalui internet. Kelulusan LIU adalah diperlukan sebelum ianya boleh dipaparkan kepada masyarakat.

Adakah LIU memantau dan mengawal iklan yang dibuat oleh syarikat jualan langsung?

Ya, LIU telah meluluskan beberapa iklan berkaitan produk farmaseutikal yang dijual dan dipasarkan oleh syarikat jualan langsung.

Bagaimana untuk memastikan sesuatu iklan itu telah diluluskan oleh LIU?

Sila semak sijil kelulusan yang telah dikeluarkan oleh LIU dan pastikan format yang dilampirkan telah ditandatangani oleh Setiausaha dan penterjemah LIU. Pastikan nombor kelulusan pada format iklan adalah sama seperti nombor pada sijil kelulusan iklan. Contoh nombor kelulusan iklan adalah: ‘KKLIU/1234/2004/ABC’.

Adakah kelulusan LIU masih diperlukan sekiranya produk farmaseutikal tersebut telah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia?

Ya, kelulusan LIU masih diperlukan kerana pendaftaran produk dan pengiklanannya adalah dua perkara berbeza.

Pendaftaran sesuatu produk bergantung kepada keselamatan dan efikasi produk tersebut manakala LIU mengawal dari segi aspek pengiklanan produk. Ini bagi mengelakkan kekeliruan dikalangan masyarakat disamping memastikan iklan itu mematuhi keperluan Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956 dan peraturan-peraturannya.

Bolehkah ubat-ubatan yang telah mendapat kelulusan USFDA tetapi tidak mempunyai nombor pendaftaran 'MAL' diiklankan di Malaysia?

Kelulusan oleh USFDA tidak bermaksud sesuatu ubat itu sudah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan Malaysia. Semua ubat-ubatan perlu didaftarkan terlebih dahulu sebelum boleh dijual atau dipasarkan di Malaysia. Semua iklan ubat-ubatan yang hendak disiarkan perlu mendapatkan kelulusan Lembaga Iklan Ubat KKM terlebih dahulu.

Halaman-halaman