Umum

Apakah tuntutan perubatan yang dibenarkan dalam iklan produk menurunkan berat badan?

Penggunaan perkataan 'weight loss' atau  'slimming'  dalam iklan produk menurunkan berat badan adalah dibenarkan dengan syarat-syarat tertentu yang ditetapkan oleh LIU. Sila rujuk dan dapatkan nasihat daripada urus setia LIU sebelum meletakkan tuntutan tersebut dalam iklan.

Bolehkah saya menaja ‘radio show’ untuk mempromosikan produk saya?

Sebarang pengiklanan produk farmaseutikal melalui radio adalah dibenarkan dan sah bagi tempoh 3 tahun kalendar. Walau bagaimanapun "caller segment" adalah tidak dibenarkan.

Bagaimana untuk memastikan sesuatu iklan itu telah diluluskan oleh LIU?

Semua iklan yang telah diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat (LIU) akan diberikan nombor kelulusan (cth: KKLIU 1234/2021 ). Nombor kelulusan iklan tersebut wajib dipamerkan pada setiap iklan yang disiarkan. Sekiranya pengguna mengesyaki terdapat iklan produk farmaseutikal atau iklan perkhidmatan kesihatan yang tidak mendapat kelulusan LIU atau tidak mempamerkan nombor kelulusan LIU, aduan boleh dibuat kepada Urusetia LIU.  

Bagaimana untuk mengetahui sama ada aduan telah diterima oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi?

Bahagian ini akan memaklumkan kepada pengadu berkenaan status penerimaan aduan melalui e-mel dalam tempoh 24 jam.

Kenapa saya menerima surat amaran berhubung iklan yang dipamerkan walaupun ianya tidak mempunyai tuntutan perubatan yang berlebihan?

Semua iklan berkaitan produk berdaftar perlu dinilai dan mendapatkan kelulusan Lembaga Iklan Ubat terlebih dahulu walaupun ia tidak mempunyai sebarang tuntutan perubatan berlebihan.    

Bagaimana untuk membuat aduan sekiranya saya terjumpa produk tidak berdaftar?

Aduan boleh dibuat melalui telefon, e-mel atau secara dalam talian di SINI. Selain itu, aduan juga boleh dibuat dengan cara menghubungi pejabat Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri yang berdekatan.

Bagaimana mengenal pasti ubat-ubatan berdaftar?

Semua produk farmaseutikal termasuk suplemen kesihatan dan ubat-ubatan tradisional perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum dipasarkan di Malaysia. Penilaian terhadap produk perlu dijalankan bagi memastikan kualiti, dan keselamatan produk farmaseutikal serta ubat-ubatan traditional terjamin untuk digunakan oleh masyarakat Malaysia. Selain itu, penilaian keberkesanan juga dijalankan bagi memastikan produk farmaseutikal yang berada dipasaran tempatan adalah berkesan.

Produk yang berdaftar dengan PBKD mempunyai dua ciri-ciri utama iaitu:

  1. Nombor Pendaftaran MAL
  2. Pelekat Hologram FarmaTagTM

Kedua-dua ciri ini perlu dipamerkan pada setiap pek jualan ubat-ubatan.

 

Nombor Pendaftaran MAL

Nombor pendaftaran MAL dimulakan dengan 'MAL', diikuti dengan 8 angka, dan diakhiri dengan kod produk.

Contoh Nombor pendaftaran MAL :    MAL12345678X

Maksud bagi setiap Kod Produk adalah seperti yang berikut:

A:         Ubat terkawal (Ubat preskripsi)

X:         Ubat terkawal tanpa preskripsi atau ubat over-the-counter (OTC)

T:         Ubat tradisional

N:        Suplemen kesihatan contohnya vitamin atau mineral

 

Pelekat Hologram FarmaTagTM

Ketulenan Pelekat Hologram boleh disemak menggunakan :

a. Dekoder

Pengguna juga boleh memeriksa ketulenan hologram FarmaTagTM yang terdapat pada kotak produk menggunakan dekoder yang terdapat di semua premis farmasi berlesen dan pejabat Cawangan Penguatkuasaan Farmasi di setiap negeri.

b. Aplikasi FarmaTag Checker

Aplikasi ini boleh di muat turun secara percuma daripada Google Play, App Store atau Huawei AppGallery.

 

Sebelum menggunakan ubat-ubatan, pastikan produk tersebut mempunyai Nombor Pendaftaran MAL dan Pelekat Hologram FarmaTagTM. Pengguna juga boleh menyemak status pendaftaran produk farmaseutikal melalui:

a. Laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)

Pautan laman sesawang NPRA adalah https://www.npra.gov.my/. Pengguna boleh menggunakan butang                “Produk Status” untuk memulakan pencarian.  

b. Aplikasi MediQuest

Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma melalui aplikasi Android Google Play (untuk pengguna                  telefon bimbit jenis android) atau OS Apps Store (untuk pengguna telefon bimbit jenis iPhone).

Adakah iklan mengenai perkhidmatan Aesthetik dibenarkan?

Perkhidmatan Aesthetik adalah diklasifikasikan sebagai rawatan perubatan dan mestilah dijalankan oleh pengamal perubatan berdaftar. Ianya boleh diiklankan dengan kelulusan daripada LIU.

Adakah iklan mengenai minuman Tongkat Ali dan Kacip Fatimah memerlukan kelulusan daripada LIU?

Minuman Tongkat Ali dan Kacip Fatimah adalah diklasifikasikan sebagai produk makanan dan dikawal oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Iklan produk makanan tidak memerlukan kelulusan LIU. Iklan produk makanan tidak dibenarkan membuat sebarang tuntutan perubatan, seperti meningkatkan keupayaan seksual, mengurangkan sakit-sakit sendi, menurunkan paras gula dan sebagainya. 

Halaman-halaman