Perkhidmatan

Adakah LIU membenarkan penggunaan testimoni di dalam iklan produk mengurangkan berat badan?

Penggunaan testimoni dalam iklan produk mengurangkan berat badan seperti penyataan/visual/ilustrasi yang menunjukkan perubahan keadaan badan sebelum dan selepas pengambilan produk adalah dibenarkan dan hendaklah disokong dengan pengakuan pengguna berdasarkan Perenggan 4.4.4 Garis Panduan Kelulusan Pengiklanan Produk Ubat Berdaftar.

Apakah yang perlu dilakukan sekiranya saya ingin membuat pindaan ke atas format iklan yang telah diluluskan oleh LIU?

Pemohon dikehendaki memohon kelulusan daripada LIU bagi sebarang pindaan yang ingin dilakukan ke atas format iklan yang telah diluluskan. Prosedur untuk permohonan pindaan adalah seperti berikut: 

  1. Pemohon dikehendaki mengisi dengan lengkap Borang Permohonan Pindaan Kelulusan Format Iklan. Borang ini boleh dimuat turun di portal rasmi Program Perkhidmatan Farmasi www.pharmacy.gov.my.
  2. Borang Permohonan Pindaan tersebut hendaklah disertakan dengan:
    • ​​​​​​​Borang Kelulusan (dokumen asal) 
    • Format iklan yang telah diluluskan (dokumen asal)
    • Lima (5) salinan format iklan dengan pindaan yang dimohon (bagi iklan selain laman sesawang) DAN tiga (3) salinan format iklan dengan pindaan yang dimohon (bagi iklan laman sesawang)
    • Dokumen sokongan yang berkaitan (jika ada) 
  3. Permohonan yang telah lengkap hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Iklan Ubat sama ada melalui serahan tangan di kaunter Program Perkhidmatan Farmasi atau melalui pos/kurier.

Permohonan pindaan ini dibenarkan satu kali sahaja tanpa bayaran dan perlu dikemukakan kepada LIU dalam masa dua (2) bulan dari tarikh kelulusan pada Borang Kelulusan.
 

Berapakah tempoh masa untuk mendapatkan kelulusan iklan daripada LIU?

Piagam pelanggan kelulusan iklan daripada LIU adalah 5 hari bekerja bagi format iklan selain laman sesawang manakala 30 hari (termasuk hujung minggu dan cuti umum) bagi format iklan laman sesawang.

Adakah LIU memantau dan mengawal iklan yang dibuat oleh syarikat jualan langsung?

Tugas pemantauan dan kawalan iklan bagi semua produk kesihatan termasuk produk syarikat jualan langsung dilakukan oleh Seksyen Koordinasi Saringan Iklan Ubat (SKSaIU), Cawangan Kawalan Iklan, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi. Proses saringan iklan produk dan perkhidmatan kesihatan merangkumi semua jenis media dan tugas ini juga dibantu oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi di setiap negeri. 

Fungsi Lembaga Iklan Ubat hanya memproses permohonan kelulusan iklan daripada semua pemegang pendaftaran produk termasuk syarikat jualan langsung. 
 

 

Adakah kelulusan LIU masih diperlukan sekiranya produk farmaseutikal tersebut telah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia?

Ya, kelulusan LIU masih diperlukan kerana pendaftaran produk dan pengiklanannya adalah dua perkara berbeza. Pendaftaran sesuatu produk bertujuan untuk memastikan kualiti, keselamatan dan efikasi produk tersebut dan adalah di bawah kuasa Pihak Berkuasa Kawalan Dadah manakala LIU mengawal dari segi aspek pengiklanan produk. Ini bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat di samping memastikan iklan itu mematuhi keperluan Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956 dan peraturan-peraturannya.

Bagaimanakah cara untuk mendapatkan akaun untuk Farmasi Intranet?

Pengguna perlu isi Borang Pendaftaran Pengguna Intranet dan hantar kepada Seksyen Pengurusan Maklumat Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi.

Bolehkan saya mendapatkan bekalan ubat susulan di mana-mana sahaja selain fasiliti kesihatan yang saya lakukan temujanji bersama doktor?

Boleh, Sistem Pendispensan Ubat Bersepadu (SPUB) membolehkan anda mendapatkan bekalan ubat susulan dari mana-mana fasiliti kesihatan terdekat dengan anda. Namun anda perlu memberitahu pegawai farmasi anda bahawa anda ingin menggunakan perkhidmatan SPUB.

Adakah Perkhidmatan UMP1M ini disediakan disemua fasiliti KKM di seluruh negara?

Buat masa ini, tidak semua fasiliti KKM menyediakan perkhidmatan ini.

Untuk maklumat lanjut berkenaan UMP1M ini, sila hubungi pegawai farmasi di fasiliti kesihatan kerajaan terdekat anda.

Halaman-halaman