Pengiklanan

Adakah pengiklanan produk kosmetik memerlukan kelulusan Lembaga Iklan Ubat (LIU)?

Pengiklanan produk kosmetik adalah secara kawalan kendiri, oleh itu tidak memerlukan kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat (LIU). Semua produk kosmetik mestilah bernotifikasi dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia. Pengiklanan produk kosmetik mestilah mematuhi Guideline For Cosmetic Advertisement dan adalah di bawah kawalan Seksyen Kosmetik, NPRA.

Adakah LIU membenarkan penggunaan testimoni di dalam iklan produk mengurangkan berat badan?

Penggunaan testimoni dalam iklan produk mengurangkan berat badan seperti penyataan/visual/ilustrasi yang menunjukkan perubahan keadaan badan sebelum dan selepas pengambilan produk adalah dibenarkan dan hendaklah disokong dengan pengakuan pengguna berdasarkan Perenggan 4.4.4 Garis Panduan Kelulusan Pengiklanan Produk Ubat Berdaftar.

Apakah tuntutan perubatan yang dibenarkan dalam iklan produk menurunkan berat badan?

Tuntutan perubatan yang dinyatakan dalam iklan produk menurunkan berat badan perlu mengikut indikasi produk atau label produk yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD). Sila rujuk Perenggan 5.5.2 (vi) Garis Panduan Kelulusan Pengiklanan Produk Ubat Berdaftar.

Apakah yang perlu dilakukan sekiranya saya ingin membuat pindaan ke atas format iklan yang telah diluluskan oleh LIU?

Pemohon dikehendaki memohon kelulusan daripada LIU bagi sebarang pindaan yang ingin dilakukan ke atas format iklan yang telah diluluskan. Prosedur untuk permohonan pindaan adalah seperti berikut: 

  1. Pemohon dikehendaki mengisi dengan lengkap Borang Permohonan Pindaan Kelulusan Format Iklan. Borang ini boleh dimuat turun di portal rasmi Program Perkhidmatan Farmasi www.pharmacy.gov.my.
  2. Borang Permohonan Pindaan tersebut hendaklah disertakan dengan:
    • ​​​​​​​Borang Kelulusan (dokumen asal) 
    • Format iklan yang telah diluluskan (dokumen asal)
    • Lima (5) salinan format iklan dengan pindaan yang dimohon (bagi iklan selain laman sesawang) DAN tiga (3) salinan format iklan dengan pindaan yang dimohon (bagi iklan laman sesawang)
    • Dokumen sokongan yang berkaitan (jika ada) 
  3. Permohonan yang telah lengkap hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Iklan Ubat sama ada melalui serahan tangan di kaunter Program Perkhidmatan Farmasi atau melalui pos/kurier.

Permohonan pindaan ini dibenarkan satu kali sahaja tanpa bayaran dan perlu dikemukakan kepada LIU dalam masa dua (2) bulan dari tarikh kelulusan pada Borang Kelulusan.
 

Berapakah tempoh masa untuk mendapatkan kelulusan iklan daripada LIU?

Piagam pelanggan kelulusan iklan daripada LIU adalah 5 hari bekerja bagi format iklan selain laman sesawang manakala 30 hari (termasuk hujung minggu dan cuti umum) bagi format iklan laman sesawang.

Adakah iklan perubatan melalui internet memerlukan kelulusan LIU?

Semua jenis media penyiaran yang bertujuan untuk mempromosikan atau menyebarkan maklumat berkenaan produk ubat berdaftar dan perkhidmatan kesihatan bagi menarik perhatian umum boleh diklasifikasikan sebagai iklan, termasuklah media penyiaran internet. Berdasarkan Seksyen 4B Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956, kelulusan Lembaga Iklan Ubat (LIU) adalah diperlukan sebelum sesuatu iklan boleh disiarkan kepada umum.

Bolehkah saya menaja ‘radio show’ untuk mempromosikan produk saya?

Segmen tajaan dalam radio seperti jingle, bual bicara (talk show) atau sesi perkongsian berkenaan produk adalah dibenarkan dan perlu mendapatkan kelulusan Lembaga Iklan Ubat terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, sesi interaksi bersama pendengar adalah tidak dibenarkan. Setiap penyataan/maklumat yang disampaikan perlu mengikut format iklan yang telah diluluskan.

Adakah LIU memantau dan mengawal iklan yang dibuat oleh syarikat jualan langsung?

Tugas pemantauan dan kawalan iklan bagi semua produk kesihatan termasuk produk syarikat jualan langsung dilakukan oleh Seksyen Koordinasi Saringan Iklan Ubat (SKSaIU), Cawangan Kawalan Iklan, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi. Proses saringan iklan produk dan perkhidmatan kesihatan merangkumi semua jenis media dan tugas ini juga dibantu oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi di setiap negeri. 

Fungsi Lembaga Iklan Ubat hanya memproses permohonan kelulusan iklan daripada semua pemegang pendaftaran produk termasuk syarikat jualan langsung. 
 

 

Bagaimana untuk memastikan sesuatu iklan itu telah diluluskan oleh LIU?

Semua iklan yang telah diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat (LIU) akan diberikan nombor kelulusan (cth: KKLIU xxxx/EXP 31.12.2025). Nombor kelulusan iklan tersebut wajib dipamerkan dengan jelas pada setiap iklan yang disiarkan. Sekiranya pengguna mengesyaki terdapat iklan produk farmaseutikal atau iklan perkhidmatan kesihatan yang tidak mendapat kelulusan LIU atau tidak mempamerkan nombor kelulusan LIU, aduan boleh dibuat di Sispaa KKM https://moh.spab.gov.my/.

Halaman-halaman