Pengiklanan

Adakah kelulusan LIU masih diperlukan sekiranya produk farmaseutikal tersebut telah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia?

Ya, kelulusan LIU masih diperlukan kerana pendaftaran produk dan pengiklanannya adalah dua perkara berbeza. Pendaftaran sesuatu produk bergantung kepada kualiti, keselamatan dan efikasi produk tersebut manakala LIU mengawal dari segi aspek pengiklanan produk. Ini bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat di samping memastikan iklan itu mematuhi keperluan Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956 dan peraturan-peraturannya.

Kenapa saya menerima surat amaran berhubung iklan yang dipamerkan walaupun ianya tidak mempunyai tuntutan perubatan yang berlebihan?

Semua iklan berkaitan produk berdaftar perlu dinilai dan mendapatkan kelulusan Lembaga Iklan Ubat terlebih dahulu walaupun ia tidak mempunyai sebarang tuntutan perubatan berlebihan.    

Adakah iklan mengenai perkhidmatan Aesthetik dibenarkan?

Perkhidmatan Aesthetik adalah diklasifikasikan sebagai rawatan perubatan dan mestilah dijalankan oleh pengamal perubatan berdaftar. Ianya boleh diiklankan dengan kelulusan daripada LIU.

Adakah iklan mengenai minuman Tongkat Ali dan Kacip Fatimah memerlukan kelulusan daripada LIU?

Minuman Tongkat Ali dan Kacip Fatimah adalah diklasifikasikan sebagai produk makanan dan dikawal oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Iklan produk makanan tidak memerlukan kelulusan LIU. Iklan produk makanan tidak dibenarkan membuat sebarang tuntutan perubatan, seperti meningkatkan keupayaan seksual, mengurangkan sakit-sakit sendi, menurunkan paras gula dan sebagainya. 

Adakah iklan makanan boleh mempunyai tuntutan perubatan seperti mengurangkan paras gula dalam darah?

Iklan makanan tidak dibenarkan meletakkan sebarang tuntutan perubatan. Mengurangkan paras gula dalam darah adalah dianggap sebagai tuntutan perubatan. Kencing manis adalah salah satu daripada 20 jenis penyakit yang tidak boleh diiklankan seperti diperuntukkan di bawah Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956. 

Adakah LIU membenarkan iklan mengenai produk berkenaan keguguran rambut?

Sekiranya iklan keguguran rambut melibatkan produk farmaseutikal, iklan tersebut perlu mendapatkan kelulusan LIU. Iklan tersebut tidak dibenarkan mempunyai tuntutan atau pernyataan bahawa:

  • Kebotakan boleh dicegah 
  • Keguguran rambut boleh dihentikan
  • Merangsang dan menggalakkan pertumbuhan rambut

Kenapa LIU membuat terlalu banyak pindaan pada format iklan yang dihantar?

Sebarang kelulusan pada format iklan adalah berdasarkan kepada Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 dan peraturannya. Selain itu, semua format iklan perlu mematuhi garis panduan pengiklanan dan polisi yang dikeluarkan oleh Lembaga Iklan Ubat. Mana-mana tuntutan dan format iklan yang tidak mematuhi akta, garispanduan dan polisi, LIU berhak meminda tuntutan dan format tersebut.

Adakah pindaan kecil seperti pertukaran atau susun atur gambar boleh dilakukan terhadap format iklan yang telah diluluskan oleh LIU?

Sebarang perubahan pada format iklan yang telah diluluskan perlu mendapatkan kelulusan semula daripada LIU terlebih dahulu. Permohonan pindaan boleh dikemukakan dalam tempoh dua (2) bulan dari tarikh kelulusan iklan.

Halaman-halaman