Pengiklanan

Adakah pengiklanan produk kosmetik memerlukan kelulusan Lembaga Iklan Ubat (LIU)?

Semua produk kosmetik mestilah bernotifikasi dengan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pengiklanan produk kosmetik mestilah mematuhi Kod Pengiklanan Kosmetik dan tiada sebarang tuntutan perubatan ke atas produk kosmetik dibenarkan. Tindakan perundangan boleh diambil ke atas pengiklan yang mengiklankan produk kosmetik dengan tuntutan perubatan dan menyalahi kod. Pengiklanan produk kosmetik tidak memerlukan kelulusan Lembaga Iklan Ubat.

Adakah LIU membenarkan penggunaan testimoni di dalam iklan produk mengurangkan berat badan?

Testimoni hanya dibenarkan bagi produk berdaftar yang didaftarkan di bawah kategori ‘X’. Sebarang testimoni oleh orang awam di dalam iklan perlu disokong dengan ‘consent letter of testimony”.

Apakah tuntutan perubatan yang dibenarkan dalam iklan produk menurunkan berat badan?

Penggunaan perkataan 'weight loss' atau  'slimming'  dalam iklan produk menurunkan berat badan adalah dibenarkan dengan syarat-syarat tertentu yang ditetapkan oleh LIU. Sila rujuk dan dapatkan nasihat daripada urus setia LIU sebelum meletakkan tuntutan tersebut dalam iklan.

Berapakah tempoh masa untuk mendapatkan kelulusan iklan daripada LIU?

Sijil kelulusan atau kebenaran bertulis daripada LIU akan dikeluarkan dalam tempoh 5 hari bekerja.

Adakah iklan perubatan melalui internet memerlukan kelulusan LIU?

Sebarang jenis penyebaran maklumat mengenai produk dan perkhidmatan kesihatan boleh diklasifikasikan sebagai iklan termasuklah melalui internet. Kelulusan LIU adalah diperlukan sebelum ianya boleh dipaparkan kepada masyarakat.

Bolehkah saya menaja ‘radio show’ untuk mempromosikan produk saya?

Sebarang pengiklanan produk farmaseutikal melalui radio adalah dibenarkan dan sah bagi tempoh 6 bulan. Walau bagaimanapun "caller segment" adalah tidak dibenarkan.

Adakah LIU memantau dan mengawal iklan yang dibuat oleh syarikat jualan langsung?

Ya, LIU telah meluluskan beberapa iklan berkaitan produk farmaseutikal yang dijual dan dipasarkan oleh syarikat jualan langsung.

Bagaimana untuk memastikan sesuatu iklan itu telah diluluskan oleh LIU?

Semua iklan yang telah diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat (LIU) akan diberikan nombor kelulusan (cth: KKLIU 0213/2013). Nombor kelulusan iklan tersebut wajib dipamerkan di setiap iklan yang disiarkan. Sekiranya pengguna mengesyaki terdapat iklan produk farmaseutikal atau iklan perkhidmatan kesihatan yang tidak mendapat kelulusan LIU atau tidak mempamerkan nombor kelulusan LIU, aduan boleh dibuat kepada Urusetia LIU.  

Halaman-halaman