Industri

Adakah kawalan kendiri iklan produk farmaseutikal dapat dilaksanakan di Malaysia?

Kawalan kendiri tidak dibenarkan di bawah Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 dan PLIU 1976. Tertakluk kepada Peraturan 5(1) PLIU 1976, semua iklan mesti diluluskan oleh LIU sebelum disiarkan kepada orang awam. Walau bagaimanapun, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi sedang dalam proses pindaan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 dan PLIU 1976. Penglibatan dan cadangan daripada pihak berkepentingan boleh dikemukakan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM.

Apakah perbezaan antara garis panduan baharu dan garis panduan lama?

Perbezaan utama dalam garis panduan baharu ialah penambahan contoh untuk menjelaskan konteks garis panduan dengan lebih baik. Selain itu, garis panduan baharu juga mengandungi infografik carta keputusan, panduan mengisi borang permohonan, borang permohonan untuk permohonan baru dan pindaan, format surat sokongan selebriti dan keterangan pelanggan, dan notis rayuan kepada Menteri Kementerian Kesihatan Malaysia. 

Terdapat juga perubahan peruntukan dalam garispanduan baharu seperti siaran akhbar produk baharu kini dibenarkan untuk diterbitkan lebih daripada satu kali; produk suplemen boleh ditawarkan sebagai hadiah percuma dengan pembelian produk yang sama; dan kenyataan wajib "Ini adalah ubat/produk tambahan/produk tradisional" telah dikeluarkan dari format iklan turut dinyatakan dalam garis panduan baharu.
 

Adalah iklan yang berkaitan dengan Program Kesedaran Penyakit dibenarkan?

Program kesedaran penyakit atau kempen pendidikan kesihatan yang bertujuan mewujudkan kesedaran tentang kesihatan dan penyakit tanpa mempromosi produk ubat adalah dibenarkan kerana tiada pelanggaran di bawah Seksyen 4B Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956. Pihak penganjur hendaklah sentiasa memastikan tiada sebarang iklan berkaitan produk ubat-ubatan disiarkan atau dipamerkan semasa program dijalankan. 

Adakah iklan produk veterinar berdaftar memerlukan kelulusan daripada LIU?

Merujuk kepada Seksyen 4B Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956, 

(1)Tiada seseorang pun boleh mengambil apa-apa bahagian dalam penyiaran apa-apa iklan yang merujuk kepada apa-apa artikel, atau artikel-artikel daripada apa-apa jenis, dalam keadaan yang direncanakan untuk mempengaruhi penggunaan artikel atau artikel-artikel daripada jenis itu sebagai ubat, alat atau penyembuh, bagi maksud merawat atau mencegah penyakit atau keadaan manusia selain penyakit dan keadaan yang dinyatakan dalam subseksyen 3(1), melainkan jika iklan itu telah diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat.

Sehubungan dengan itu, iklan produk veterinar yang digunakan untuk haiwan bukan di bawah bidang kuasa Lembaga Iklan Ubat. Selain itu, Garis Panduan Kelulusan Pengiklanan Produk Ubat Berdaftar juga menetapkan bahawa panduan ini tidak terpakai kepada iklan produk veterinar (Perenggan 1.3 Skop Pemakaian).