Tindakan Penguatkuasaan

Tindakan Penguatkuasaan

Bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam, penguatkuasaan penjualan secara atas talian bagi produk farmaseutikal melalui Internet menjadi cabaran besar kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia. Bahagian ini berusaha membanteras aktiviti-aktiviti di Internet yang dikesan menjual produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang. Bahagian Perkhidmatan Farmasi (BPF) melalui Penguatkuasaan Farmasi turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi membendung aktiviti ini daripada berleluasa.

Bermula dari tahun 2012, Bahagian Perkhidmatan Farmasi telah berkolaborasi dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa melalui operasi Pangea. Operasi ini dijalankan secara bersepadu dan melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan dari lebih 100 buah negara di seluruh dunia dan dikoordinasikan oleh Interpol. Dalam tempoh operasi tersebut, laman sesawang telah dipantau selama seminggu. Rumusan pencapaian pemonitoran laman sesawang yang diambil tindakan untuk penutupan dalam operasi Pangea adalah seperti berikut

PANGEA

LAMAN WEB

MEDIA SOSIAL

V

96

-

VI

131

-

VII

224

97

Pada tahun 2014 (PANGEA VII), sebanyak 224 laman sesawang yang menjual produk farmaseutikal dikenalpasti dan disenaraikan untuk disekat dan seterusnya ditutup oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia. Manakala sebanyak 97 media sosial termasuk Facebook dan Youtube telah dilaporkan dan dipohon untuk ditutup.

Selain daripada jalinan kerjasama, fokus juga diberikan oleh BPF dan Cawangan Penguatkuasa Farmasi setiap negeri dengan menjalankan serbuan ke atas premis yang didapati menjual atau mengilang produk farmaseutikal yang menyalahi undang-undang menerusi Internet. Produk farmaseutikal tersebut akan dirampas manakala penjual dan pengilang produk akan dikenakan tindakan undang-undang.

Pegawai-pegawai penguatkuasa juga ditempatkan di pusat perkhidmatan kurier untuk memantau bungkusan yang dihantar menggunakan perkhidmatan kurier. Pegawai –pegawai ini akan menyaring bungkusan yang disyaki mengandungi produk farmaseutikal. Produk farmaseutikal tidak berdaftar akan dirampas oleh Bahagian ini dan tindakan penguatkuasaan akan diambil dengan sewajarnya.