SISTEM PENGURUSAN PEMBEKALAN UBAT BAGI PERKHIDMATAN NILAI TAMBAH FARMASI (MyUBAT)

                                                 

PENGENALAN

Pada 28hb April 2021, Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan Sistem Pengurusan Pembekalan Ubat Bagi Perkhidmatan Nilai Tambah Farmasi (MyUBAT). Sistem ini terdiri daripada 2 komponen utama, iaitu:

  1. Aplikasi MyUBAT dalam telefon pintar (pengguna: pesakit); dan
  2. Sistem webconsole menggunakan laman sesawang (pengguna: anggota farmasi)

Sistem ini memudahkan dan mempercepatkan urusan pendaftaran serta pengambilan bekalan ubat susulan pesakit dari fasiliti kesihatan KKM. Ia juga membolehkan pesakit memantau temu janji perkhidmatan nilai tambah farmasi melalui aplikasi MyUBAT. Selain itu, penggunaan sistem ini juga dapat memudahkan anggota di fasiliti farmasi menguruskan proses pendaftaran dan penyediaan ubat-ubatan susulan di kaunter-kaunter farmasi dengan lebih sistematik.

OBJEKTIF

Objektif pelaksanaan sistem ini adalah untuk:

  1. Memudahkan proses pendaftaran pesakit untuk pengambilan bekalan ubat susulan
  2. Menjimatkan masa menunggu pesakit di kaunter farmasi
  3. Menjamin kesinambungan bekalan ubat susulan pesakit

SKOP

MyUBAT boleh ditawarkan kepada semua pesakit yang mendapatkan rawatan dan menerima preskripsi jangka panjang dari fasiliti kesihatan KKM.

Perluasan penggunaan sistem MyUBAT telah bermula pada 15 April 2021 di semua fasiliti kesihatan KKM. Walau bagaimanapun perluasan sistem ini dilaksanakan secara berfasa di mana bagi fasa pertama bermula pada tempoh 15 April hingga 15 Julai 2021. Adalah dijangkakan sebanyak 187 fasiliti kesihatan KKM akan memulakan penggunaan sistem ini. Sila rujuk Senarai Fasiliti KKM MyUBAT yang bermula pada Fasa 1 adalah seperti yang dilampirkan.

APA YANG PERLU ANDA LAKUKAN?

  1. Muat turun aplikasi MyUBAT melalui App Store, Google Play atau AppGallery
  2. Daftar perkhidmatan bekalan ubat susulan
  3. Semak status bekalan ubat atau temu janji
  4. Pinda tarikh temu janji (jika perlu)

Sila rujuk poster-poster pendaftaran MyUBAT yang dilampirkan untuk maklumat terperinci.

MAKLUMAT LANJUT

Sila berhubung dengan anggota farmasi di hospital atau klinik kesihatan KKM yang berdekatan jika anda berminat untuk menggunakan sistem ini. Lampiran-lampiran berkaitan sistem MyUBAT ini juga disediakan sebagai maklumat tambahan.

Sila rujuk senarai fasiliti kesihatan KKM yang telah mengaktifkan sistem MyUBAT di https://www.pharmacy.gov.my/myubat/