Formulari Ubat Kementerian Kesihatan Malaysia (FUKKM)

Formulari Ubat Kementerian Kesihatan Malaysia (FUKKM) merupakan rujukan di peringkat KKM mengenai semua ubat yang boleh digunakan di Kementerian Kesihatan.

Formulari ini adalah suatu pendekatan dasar dan pentadbiran untuk  mengawal dan menggalakkan  penggunaan ubat-ubatan secara rasional dan berkualiti di semua hospital, klinik dan institusi KKM. Dengan itu, perbelanjaan yang digunakan untuk perolehan ubat dapat dikawal dan peruntukan kewangan yang ada digunakan secara optimum.

Format Penyenaraian Dalam FUKKM

FUKKM mengandungi maklumat nama ubat dalam generik (International Non-proprietary Name atau INN), kategori preskriber yang boleh memulakan preskripsi, dos, interaksi, indikasi, had penggunaan (jika ada) serta kesan advers.

Ubat-ubat dalam FUKKM disenaraikan mengikut nama generik. Penggunaan nama generik ketika menulis preskripsi adalah diwajibkan di semua hospital, klinik dan institusi KKM.  Nama dagangan dalam FUKKM  diberi hanya sebagai contoh/ panduan dan bukan bermakna jenama berkenaan mendapat kontrak KKM.

Kategori preskriber yang boleh memulakan preskripsi:

A*

Pakar Perunding / Pakar bagi Indikasi yang Spesifik sahaja

A Pakar Perunding / Pakar
A/KK

Pakar Perunding / Pakar / Pakar Perubatan Keluarga

B

Pakar Perunding / Pakar / Pakar Perubatan Keluarga / Pegawai Perubatan

C Pakar Perunding / Pakar / Pakar Perubatan Keluarga / Pegawai Perubatan / Paramedik
C+

Pakar Perunding / Pakar / Pakar Perubatan Keluarga / Pegawai Perubatan / Paramedik 

 

Bagi bidang pergigian, Pakar Perunding Kanan/Pakar Perunding serta Pegawai Perubatan Pergigian adalah termasuk dalam kategori preskriber seperti di atas namun hanya bagi ubat-ubatan yang digunakan dalam rawatan pergigian. 

Prosedur Permohonan Cadangan Penyenaraian Atau Pemansuhan kepada FUKKM

Keputusan Panel Kaji Semula Senarai Ubat KKM terhadap semua cadangan penyenaraian/pemansuhan akan diedarkan ke semua negeri/institusi KKM melalui Pekeliling Pindaan/Tambahan kepada FUKKM. 

Sila rujuk garis panduan, Guidelines for Submission of Dossier for Listing Medicines into MOH Medicines Formulary sebagai rujukan panduan penyenaraian ubat-ubatan ke dalam FUKKM.

Sekretariat

Sebarang pertanyaan berkaitan penyenaraian ubat ke dalam FUKKM, sila hubungi Cawangan Pengurusan Formulari, Bahagian Amalan & Perkembangan Farmasi, KKM melalui e-mel sekretariatfukkm@moh.gov.my

Tag: 
formulari ubat KKM
ubat