Amaran Kepada Orang Awam Mengenai Produk Tradisional Tidak Berdaftar Yang Dikesan Mengandungi Racun Berjadual

Kategori berita: 
Tarikh terbit: 
Rabu, 28 Ogos 2013
Produk beracun

Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menasihatkan orang awam agar mengelakkan daripada membeli dan menggunakan PRODUK TIDAK BERDAFTAR seperti berikut:

Bil Nama Produk Racun Berjadual yang Dikesan
1

Li Long Mei Guo Mo Bang

(力龙美国魔棒)
Sildenafil
2

Africa Black Ant

(非洲黑蚁王)
Sildenafil
3

Ginseng Tu Chong Wan Lin Heong

(人参杜仲萬灵香)
Dexamethasone

 

PERIHAL PRODUK

Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, KKM telah mendapat maklumat dari pihak Health Sciences Authority (HSA) bahawa ketiga-tiga produk di atas telah dikesan mengandungi bahan racun berjadual sildenafil atau dexamethasone.

Sildenafil telah dikesan pada produk Li Long Mei Guo Mo Bang dan Africa Black Ant susulan laporan kesan advers yang diterima terhadap orang awam yang mengalami kesan sampingan akibat pengambilan produk-produk tersebut. Antara kesan sampingan yang dialami oleh pesakit-pesakit tersebut adalah sakit di bahagian dada, sesak nafas, serangan jantung dan angin ahmar. Kedua-dua pesakit masih menerima rawatan di hospital akibat kesan sampingan yang dialami.

Manakala, dexamethasone pula dikesan pada produk Ginseng Tu Chong Wan Lin Heong susulan daripada siasatan ke atas laporan kesan advers yang dialami oleh seorang pesakit di negara itu yang mengalami sindrom Cushing selepas mengambil produk ini dalam masa 8-9 bulan. Sindrom Cushing dikenalpasti melalui ciri-ciri seperti muka membulat, peningkatan berat badan mendadak, bengkak pada bahu serta tengkuk dan kulit kesihatan garis kebiru-biruan (striae).

Hasil semakan mendapati ketiga-tiga produk yang dilaporkan adalah tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah. Nombor pendaftaran MAL 19991268TC dan maklumat syarikat yang tertera pada label produk Ginseng Tu Chong Wan Lin Heong iaitu di Alor Setar, Kedah merupakan alamat palsu. Walau bagaimanapun, berdasarkan siasatan lanjut produk ini telah berjaya dirampas pada 25 Julai 2013 di salah sebuah premis pengedar yang terletak di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

PERIHAL BAHAN RACUN BERJADUAL

Penggunaan bahan racun berjadual sildenafil atau dexamethasone tidak dibenarkan dalam ubat kategori tradisional. Sildenafil adalah ubat yang digunakan dalam rawatan disfungsi erektil dan hanya boleh dibekal oleh doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi doktor. Penggunaan sildenafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan advers serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat yang merbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

Dexamethasone adalah ubat jenis kortikosteroid yang dikawal di bawah Akta Racun 1952. Ia berfungsi sebagai antiradang yang kuat dan biasa digunakan dalam rawatan alergi. Ia hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperolehi dari farmasi dengan preskripsi doktor kerana ia perlu diambil dengan dos yang sesuai mengikut keadaan pesakit. Penggunaan dexamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan yang serius seperti ulser perut, lemah otot, tulang rapuh (osteoporosis), peningkatan paras gula dalam darah, peningkatan tekanan darah, glaucoma dan sindrom Cushing.

PERINGATAN KEPADA PENJUAL DAN PENGEDAR PRODUK-PRODUK INI

Sesiapa yang mempunyai stok produk-produk ini dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan pemilikan untuk jualan produk-produk ini melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM

Orang awam yang sedang menggunakan produk Li Long Mei Guo Mo Bang dan Africa Black Ant dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya, manakala bagi yang mengambil produk Ginseng Tu Chong Wan Lin Heong adalah dinasihatkan supaya segera mendapatkan nasihat dan rawatan dari ahli profesional kesihatan.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai produk-produk tidak berdaftar ini dinasihatkan supaya dapat menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-7841 3200 atau mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan atau e-mel kepada pharmacy1@moh.gov.my bagi menyalurkan maklumat agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi mengekang pengedaran produk ini di pasaran.

Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan menghubungi BPFK di talian 03-7883 5400 atau melayari laman sesawang www.bpfk.gov.my.

DATO’ EISAH BINTI A. RAHMAN
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi
Kementerian Kesihatan Malaysia