Maklum Balas Aduan Kekurangan Ubat Di Farmasi Klinik Kesihatan Ayer Tawar

Kategori berita: 
Tarikh terbit: 
Khamis, 28 Februari 2013
Sumber: 
Laman Facebook YB Menteri Kesihatan

Terlebih dahulu pihak kami amat menghargai usaha pengadu, Healing THL dalam memberi maklum balas terhadap perkhidmatan unit farmasi di Klinik Kesihatan Ayer Tawar, Daerah Manjung Perak.

Berdasarkan hasil siasatan yang dikemukakan, pihak kami akur tentang masalah kekurangan stok ubat untuk lima jenis item yang berlaku di Klinik Kesihatan Ayer Tawar berikutan berlaku gangguan bekalan ubat pada akhir tahun 2012. Walaubagaimanapun bekalan stok ubat telah dapat dipulihkan dengan tindakan penambahbaikan pada awal tahun 2013. Kini, stok bekalan ubat telah pulih sepenuhnya dan semua pesakit telah dibekalkan bekalan ubat secara penuh untuk tempoh sebulan.

Mengenai isu berkaitan kesibukan lalu lintas yang berlaku di sana, pihak Klinik Kesihatan Ayer Tawar telah meneliti dan mengusahakan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah tersebut. Selain itu, pihak farmasi ada menawarkan perkhidmatan sistem kad temujanji untuk pesakit yang menerima rawatan jangka panjang di mana dengan sistem ini, bekalan ubat akan disediakan terlebih dahulu sebelum pesakit datang pada tarikh temujanji yang telah ditetapkan. Pesakit boleh memilih tarikh temujanji dan datang mengikut kesesuaian masa mereka. Pada masa yang sama, pesakit dapat mengelak dari kesesakan lalu lintas pada waktu-waktu tertentu.

Sehubungan dengan itu, pihak kami memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh pihak tuan dan mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan tuan mengutarakan perkara ini demi meningkatkan mutu kualiti perkhidmatan kami. Pihak kami sentiasa mengalu-alukan sebarang komen dan cadangan untuk membantu kami memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.