Ulasan Laporan "It Improves Sexual Desire And Causes Memory Loss For 3 Hours. Both Men And Women May Become Victims Of Aphrodisiac Medications"

Kategori berita: 
Tarikh terbit: 
Jumaat, 9 November 2012
Sumber: 
China Press

Merujuk kepada artikel ini, produk “Shao Nu Mi Qing Shui” telah dijual di Malaysia dan digunakan sebagai ubat perangsang seks. Produk ini yang dijual melalui internet dikatakan dicampur ke dalam minuman dan pengambilannya menyebabkan pengguna/mangsa hilang ingatan selama 3 jam. Produk ini mendapat permintaan tinggi kerana kesannya yang cepat walaupun tiada kajian saintifik yang mengesahkannya.

Ubat perangsang seks adalah haram di Malaysia. Produk-produk yang didaftarkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia tidak dibenarkan membuat tuntutan sedemikian. Produk-produk berdaftar yang digunakan dalam rawatan disfungsi erektil dan ubat psikotropik yang memberi kesan sedatif/tidur hanya boleh dipreskrib oleh doktor.

Semakan mendapati produk “Shao Nu Mi Qing Shui” yang dilaporkan adalah produk yang tidak berdaftar dengan PBKD. Produk tidak berdaftar tidak dapat dipastikan kandungan dan keselamatannya serta boleh memudaratkan pengguna. Oleh itu, orang awam dinasihatkan agar tidak membeli produk yang tidak berdaftar terutamanya dari sumber-sumber yang diragui seperti internet dan kaki-kaki lima.

Orang awam boleh menyemak status pendaftaran produk dengan menghubungi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di talian 03-7883 5400 atau melayari laman sesawang www.bpfk.gov.my. Sekiranya didapati terdapat produk tidak berdaftar dalam pasaran, orang ramai digalakkan untuk membuat laporan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui talian 03-7841 3200/3396 atau e-mel pharmacy1@moh.gov.my.