Ulasan Kepada Pertanyaan Pengguna Tentang Jenama Minyak Angin Yang Tidak Boleh Digunakan Oleh Orang Islam

Kategori berita: 
Tarikh terbit: 
Rabu, 11 Disember 2013
Sumber: 
Harian Metro

ULASAN KEPADA PERTANYAAN PENGGUNA DALAM SURAT KHABAR HARIAN METRO, 11 DISEMBER 2013, MUKA SURAT 25 TENTANG JENAMA MINYAK ANGIN YANG TIDAK BOLEH DIGUNAKAN OLEH ORANG ISLAM

Menurut Peraturan-Peraturan  Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, semua produk yang dijual di pasaran perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD). Minyak angin dengan tuntutan melegakan kesakitan merupakan di antara jenis produk yang perlu berdaftar.  Minyak angin boleh didaftarkan di bawah dua kategori, samada kategori produk Tradisional atau Bukan Preskripsi (OTC) bergantung kepada formulasi produk.  

Sebelum sesuatu produk didaftarkan, syarikat perlu menghantar permohonan pendaftaran beserta dokumen-dokumen tertentu seperti formulasi produk, sumber bahan yang digunakan serta proses pengilangan produk kepada pihak Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK). Dokumen-dokumen ini akan dinilai bagi memastikan kualiti dan keselamatan produk.

Sewaktu  pendaftaran produk, pemohon juga dikehendaki mengemukakan deraf label sama seperti label yang akan dipasarkan. Label produk akan dinilai dan data-data seperti formulasi produk serta sumber bahan aktif, eksipien atau sarung kapsul yang berasaskan haiwan perlu dinyatakan dengan jelas pada label. Sebagai contoh, label perlu menyatakan `Produk ini mengandungi bahagian binatang/ This product contains animal part’ atau `Produk ini mengandungi bahan yang berasal daripada haiwan/ This product contains substance from animal origin’ sekiranya mengandungi bahan daripada sumber haiwan. Keperluan pelabelan sedemikian adalah supaya para pengguna, khususnya  pengguna beragama Islam/ Hindu mengetahui sumber bahan-bahan yang digunakan dalam formulasi produk dan pengguna yang mempunyai alahan kepada bahan tertentu untuk mengelakkan dari menggunakan produk berkenaan. .

Selain itu, logo HALAL juga dibenarkan bagi produk yang berdaftar. Logo HALAL pada label produk hanya akan dibenarkan sekiranya pihak syarikat boleh mengemukakan sijil pengesahan halal daripada JAKIM atau badan-badan yang diiktiraf oleh pihak JAKIM. Penggunaan logo HALAL bagi produk-produk berdaftar adalah secara voluntari  dan sekiranya tiada logo halal adalah tidak wajar produk dianggap haram untuk digunakan.

Orang ramai dinasihatkan agar merujuk kepada pihak BPFK sekiranya terdapat sebarang keraguan dalam menggunakan produk berdaftar.