Pendaftaran Produk Tradisional Sta-lions Dibatalkan

Kategori berita: 
Tarikh terbit: 
Isnin, 1 April 2013
Sumber: 
Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Sta-lions front view Sta-lions back view

Orang awam dinasihatkan untuk mengelak dari membeli dan mengguna produk tradisional Sta-lions yang mempunyai nombor pendaftaran MAL08091457TC berikutan pembatalan pendaftarannya oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada mesyuaratnya yang ke-262 bertarikh  28 Mac 2013 kerana dikesan mengandungi racun berjadual tadalafil. Pemegang pendaftaran bagi produk ini ialah Together Link Enterprise, Pulau Pinang dan pengilangnya ialah DZ Trade (Malaysia) Sdn. Bhd., Kedah. Indikasi yang tertera pada label produk adalah digunakan secara tradisional untuk kesihatan umum.

Tadalafil adalah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk. Ubat-ubat yang mengandungi tadalafil hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi doktor. Penggunaan tadalafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan advers serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat merbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung. Tadalafil atau analognya adalah tidak dibenarkan dalam ubat yang dikelaskan sebagai ubat tradisional. Dengan itu, adalah sangat bahaya sekiranya produk-produk ini diguna oleh orang awam yang berisiko tinggi terhadap kesan advers tersebut, terutamanya pesakit jantung (angina pektoris) yang mengambil ubat nitrate.

Pengguna dinasihatkan untuk berhenti menggunakan produk Sta-lions dengan serta-merta dan mendapatkan nasihat dari profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers. Orang ramai boleh menghubungi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di talian 03-78835546/5539 atau email kepada bpfk@bpfk.gov.my untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut.

Sesiapa yang mempunyai stok produk ini dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaan produk-produk ini dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan bahawa pemilikan untuk jualan produk-produk ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 di bawah Akta Jualan Dadah 1952. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
(Pengerusi Pihak Berkuasa Kawalan Dadah)

Putrajaya