Bagaimana untuk mengenalpasti sesuatu ubat itu adalah ubat yang berdaftar dengan KKM?

Semua produk ubat-ubatan di Malaysia perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu sebelum dipasarkan kepada pengguna termasuklah produk-produk yang dibuat di luar negara. Produk berdaftar adalah terjamin daripada segi Keselamatan (Safety), Kualiti (Quality) dan Keberkesanan (Efficacy). Produk berdaftar mempunyai nombor pendaftaran MAL (contoh MAL20125467T) dan label keselamatan Hologram pada pembungkusannya. Sekiranya sesuatu produk ubat tidak mempunyai  kedua-dua ciri ini, produk tersebut dikhuatiri tidak berdaftar dengan KKM. 

Semua ubat berdaftar mesti mempamerkan nombor pendaftarannya pada label atau pembungkusannya. No. pendaftaran dimulakan dengan huruf ‘MAL’ diikuti dengan 8 digit nombor dan di akhiri dengan huruf-huruf yang menunjukkan kategori pendaftaran produk tersebut iaitu :

Kategori pendaftaran produk:

A – ubat mengandungi racun terkawal (eg: antibiotik, darah tinggi)

X – ubat yang tidak mengandungi racun terkawal / OTC (eg: paracetamol, aspirin)

T - ubat tradisional (eg: Jamu, minyak urut, minyak gamat)

N – natural produk/ubat supplemen kesihatan (eg: minyak ikan kod, multivitamin, glucosamine)

H – Ubat Veterinar

 

Di samping itu juga, berkemungkinan terdapat kod pentadbiran yang digunakan oleh pihak Bahagian Regulatori Farmasi Negara diletakkan selepas kategori produk. Kod pentadbiran tersebut adalah :

 

C  – Contract Manufactured (the product is manufactured by a GMP certified contract manufacturer)

EFor Export Only (FEO) (the product is to be sold for export only and not for sale in the local market)

R –  Packed and/or repacked (the product is packed and/or repacked by an approved GMP certified packer and/or repacker)

SSecond source (the product is from a second source/ approved second manufacturer)

Y –  Orphan products

Z – Produk yang digezetkan sebagai berkadar sifar di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014, Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Berkadar Sifar) 2014.

 

Pengguna boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang https://www.npra.gov.my / ATAU dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.

Dalam laman sesawang tersebut boleh klik ikon ‘Produk Search’. Carian produk berdaftar boleh dibuat dengan menggunakan :

  • nama produk
  • nombor pendaftaran
  • nama pemegang pendaftaran
  • bahan-bahan aktif
  • nama pengilang/pengimport

Jika produk tersebut adalah produk yang berdaftar, status pendaftaran akan dipaparkan. Selepas memeriksa nombor pendaftaran, pengguna dinasihatkan untuk menyemak kesahihan label hologram melalui ahli farmasi di hospital, klinik atau premis farmasi berdekatan.

Selain itu, orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi menyemak status pendaftaran produk tersebut.