Perkhidmatan Tambah Nilai Farmasi

Pengenalan

Perkhidmatan Tambah Nilai Farmasi (Value Added Services, VAS) adalah satu perkhidmatan yang tercetus hasil daripada kreativiti dan inovasi anggota farmasi dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan farmasi kepada pesakit. Ia merupakan perkhidmatan yang boleh menjadi pilihan pesakit dalam memudahkan mereka mendapatkan bekalan ubat susulan. Antara Perkhidmatan Tambah Nilai Farmasi yang disediakan adalah Sistem Pembekalan Ubat Bersepadu (SPUB), Sistem Temujanji, Farmasi Pandu Lalu dan Ubat Melalui Pos 1Malaysia.

a) Sistem Pendispensan Ubat Bersepadu (SPUB)

Satu sistem rujukan seragam di antara farmasi asal dan farmasi pilihan pesakit yang berhampiran dengan kediaman pesakit bagi pengambilan ubat susulan mereka. Inovasi kepada cara pendispensan ini dapat membantu pesakit dari aspek menjimatkan kos dan masa perjalanan pesakit untuk mendapatkan bekalan ubat susulan pada setiap bulan.

b) Sistem Temujanji

Sistem Temujanji ini merupakan satu alternatif kepada sistem pendispensan di mana pesakit boleh menggunakan medium seperti telefon, SMS, e-mel, faks dan juga kad temujanji untuk memaklumkan tarikh temujanji kepada pihak farmasi bagi mendapatkan bekalan ubat susulan mereka.

Dengan menggunakan perkhidmatan ini, ubat-ubatan pesakit akan disediakan sekurang-kurangnya beberapa hari sebelum tarikh temujanji. Oleh itu, pesakit tidak perlu menunggu lama bagi mendapatkan ubat mereka seterusnya menjimatkan masa menunggu dan mengurangkan kesesakan di ruang menunggu farmasi terutama di waktu puncak (peak time).

c) Farmasi Pandu Lalu

Fasiliti khas atau kaunter berasingan  di luar farmasi bagi pengambilan ubat susulan pesakit. Dengan menggunakan perkhidmatan ini, pesakit tidak perlu menunggu lama kerana ubat telah tersedia selepas membuat temujanji dengan pihak farmasi. Pada hari temujanji, pesakit hanya perlu mendapatkan bekalan ubat secara pandu lalu tanpa perlu menghadapi masalah mencari tempat meletak kenderaan.

d) Perkhidmatan Ubat Melalui Pos 1Malaysia

Satu perkhidmatan penghantaran bekalan ubat susulan pesakit ke destinasi pilihan pesakit di seluruh Malaysia dengan caj penghantaran yang minima. Perkhidmatan ini ditawarkan kepada pesakit yang mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh pihak farmasi.

Maklumat Lanjut

Sila rujuk pada anggota farmasi di hospital/klinik kesihatan KKM yang berdekatan anda bagi mendapatkan maklumat berkenaan perkhidmatan VAS yang ada disediakan.

 

Fail-fail muat turun: