Formulari Ubat Kementerian Kesihatan Malaysia (FUKKM)

Formulari Ubat Kementerian Kesihatan Malaysia (FUKKM) merupakan rujukan di peringkat KKM mengenai semua ubat yang boleh digunakan di Kementerian Kesihatan.

Formulari ini adalah suatu pendekatan dasar dan pentadbiran untuk  mengawal dan menggalakkan  penggunaan ubat-ubatan secara rasional dan berkualiti di semua hospital, klinik dan institusi KKM.Dengan itu perbelanjaan yang digunakan untuk perolehan ubat dapat dikawal dan peruntukan kewangan yang ada digunakan secara optimum.

Format Penyenaraian Dalam FUKKM

FUKKM mengandungi maklumat Kod Ubat Malaysia (Malaysia Drug Code atau MDC), nama ubat dalam generik (International Non-proprietary Name atau INN), kategori preskriber yang boleh memulakan preskripsi, dos, interaksi, indikasi, had penggunaan (jika ada) serta kesan advers.

Ubat-ubat dalam FUKKM disenaraikan mengikut nama generik. Penggunaan nama generik ketika menulis preskripsi adalah diwajibkan di semua hospital, klinik dan institusi KKM.  Nama dagangan dalam FUKKM  diberi hanya sebagai contoh/ panduan dan bukan bermakna jenama berkenaan mendapat kontrak KKM.

Prosedur Permohonan Cadangan Penyenaraian Atau Pemansuhan

Semua permohonan cadangan penyenaraian atau pemansuhan  dibuat dengan mengisi proforma  yang boleh diperolehi di semua Jabatan Farmasi KKM dan boleh dimuat turun dari laman sesawang ini. Borang Senarai Semak Proforma perlu diisi dan dihantar bersama proforma yang dicadangkan. Permohonan yang tidak lengkap dikembalikan kepada pemohon untuk dilengkapkan sebelum dapat diproses.

Keputusan Panel Kaji Semula Senarai Ubat KKM terhadap semua cadangan penyenaraian/pemansuhan akan diedarkan ke semua negeri/institusi KKM melalui pekeliling ubat iaitu pindaan/tambahan kepada FUKKM. 

Untuk maklumat lanjut berkaitan FUKKM, sila rujuk Garis Panduan Formulari Ubat KKM.

Keanggotaan Panel Kaji Semula Senarai Ubat KKM

Panel Kaji Semula Senarai Ubat KKM di anggotai oleh Pakar-pakar Perunding Kanan dan Pegawai-pegawai Farmasi Kanan Kementerian Kesihatan yang dilantik oleh Ketua Pengarah Kesihatan, iaitu terdiri daripada :

  1. Ketua Pengarah Kesihatan                                                      - Pengerusi
  2. Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi                             - Ahli
  3. Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan)            - Ahli
  4. Lapan (8) orang Pakar Perunding Kanan dari pelbagai    - Ahli disiplin dalam Perkhidmatan Awam
  5. Tiga (3) orang Pegawai Farmasi Kanan dalam                   - Ahli Perkhidmatan Awam.
  6. Pegawai Farmasi Kanan dalam Perkhidmatan Awam      - Setiausaha

Sekretariat

Sebarang pertanyaan berkaitan penyenaraian ubat ke dalam FUKKM, sila hubungi  Cawangan Formulari & Farmakoekonomik, Bahagian Amalan & Perkembangan Farmasi, KKM.

Tag: 
formulari ubat KKM
ubat