Penjualan Racun Kumpulan B Tanpa Preskripsi dan Penjualan Ubat-ubatan Yang Tidak Berdaftar

Kategori berita: 
Tarikh terbit: 
Khamis, 26 Disember 2013
banner group B- MS 2

Peringatan kepada Pemegang Lesen Racun Jenis A

1. Sepanjang tahun 2013, Bahagian ini telah menerima beberapa aduan berhubung penjualan racun kumpulan B tanpa preskripsi oleh Ahli Farmasi yang juga pemegang lesen racun jenis A. Sebagai Ahli Farmasi yang profesional dan beretika, tidak sepatutnya melakukan atau terlibat dalam amalan sedemikian.

2. Oleh itu, pada tahun 2014, melalui Cawangan Penguatkuasa Farmasi di peringkat negeri, tindakan pemantauan akan ditingkatkan. Mana-mana pemegang lesen yang didapati membekal/ menjual racun kumpulan B tanpa preskripsi, tindakan undang-undang akan di ambil tanpa sebarang notis atau amaran awal. Tindakan undang-undang juga akan di ambil terhadap kes-kes penyimpanan/ pembekalan/ penjualan ubat-ubatan tidak berdaftar yang tidak dibenarkan.

3. Sesiapa yang didapati membekal/ menjual racun Kumpulan B tanpa preskripsi boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 32 (2) Akta Racun 1952, dimana hukuman denda sehingga RM5,000.00 atau hukuman penjara sehingga dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali.

4. Sesiapa yang didapati menyimpan/ membekal/ menjual ubat-ubatan yang tidak berdaftar yang tidak dibenarkan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 12 (1) Akta Jualan Dadah 1952, dimana hukuman denda sehingga RM25,000.00 atau hukuman penjara sehingga tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali; dan bagi kesalahan kedua, hukuman denda sehingga RM50,000.00 atau hukuman penjara sehingga lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali.

5. Oleh itu, adalah diharapkan agar Ahli Farmasi sentiasa mengamalkan profesionalisme, beretika serta patuh pada peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan.