Laporan Oleh Hong Kong Consumer Council Berkenaan Produk Pewarna Kuku Yang Dikesan Mengandungi Bahan Kimia Toksik

Kategori berita: 

Majlis Pengguna Hong Kong telah membuat laporan melalui laman web rasmi pada 16 Ogos 2010 terhadap kajian yang dijalankan oleh mereka ke atas 42 model produk pewarna kuku. Hasil ujian yang dijalankan didapati produk-produk tersebut mematuhi keperluan had logam berat (plumbum, raksa dan arsenik) yang ditetapkan oleh Mainland’s Hygiene Standard for Cosmetic. Walau bagaimanapun, benzene iaitu bahan larangan di dalam produk kosmetik telah dikesan di dalam 4 model dengan kepekatan di antara 9.7ppm hingga 260ppm, manakala DEPH (Diethylhexyl Phthalate) pula telah dikesan di dalam satu model dengan kepekatan 10ppm. Methanol, toulene dan  methyl methacrylate yang  merupakan bahan yang perlu digunakan dalam had tertentu di dalam produk kosmetik telah dikesan di dalam  sesetengah model dengan kepekatan yang berlebihan. Salah satu dari 4 model telah dikesan mengandungi methanol 20 kali lebih tinggi daripada had yang ditetapkan manakala paras toluene pula didapati 27 peratus iaitu melebihi had 25 peratus. Tiada maklumat seperti nama produk atau pun nama syarikat yang memasarkan produk tersebut dinyatakan dalam laporan berkenaan.

Benzene adalah bahan organik yang boleh menyebabkan kanser. DEPH iaitu sejenis phthalate boleh menyebabkan kesan sampingan terhadap organ genital bayi lelaki yang dilahirkan oleh wanita mengandung yang terdedah kepada bahan ini dalam tempoh yang lama dan terdapat kajian pada haiwan menunjukkan sesetengah phthalates pada had yang tinggi boleh menyebabkan kecacatan semasa kelahiran. Toulene pula boleh memberikan kesan terhadap sistem saraf pusat dan juga menyebabkan iritasi kepada sistem pernafasan. Manakala methyl methacrylate pula boleh menyebabkan kesan alergi pada kulit.

Benzene dan DEPH merupakan bahan yang dilarang di dalam sediaan produk kosmetik di Malaysia dan juga di Negara Kesatuan Eropah. Semakan terhadap pangkalan data produk kosmetik, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati produk-produk kosmetik yang bernotifikasi di pasaran tidak mengandungi bahan-bahan tersebut.

Methanol, toluene dan methyl methacrylate adalah bahan-bahan yang lazim digunakan di dalam sediaan pewarna kuku dan dibenarkan digunakan di dalam sediaan produk kosmetik di Malaysia dan Negara Kesatuan Eropah. Methanol dan toluene berfungsi sebagai bahan pelarut yang hanya dibenarkan dalam kepekatan tertentu sahaja. Methyl methacrylate merupakan artificial nail builder di dalam sediaan pewarna kuku untuk memanjangkan kuku.

Pengguna adalah dinasihati supaya membaca label produk kosmetik bagi membantu mereka membuat pilihan yang bijak apabila membeli produk kosmetik. Sekiranya pengguna mengalami sebarang kesan alergi atau kesan sampingan akibat daripada penggunaan produk kosmetik, mereka disarankan untuk menghubungi pihak BPFK. Maklumat yang terperinci seperti nama produk, kesan sampingan yang dialami dan sampel produk yang digunakan adalah diperlukan oleh pihak BPFK untuk tujuan siasatan lanjut.

Pemantauan melalui Program Pengawasan Mutu produk kosmetik dipasaran dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan terhadap aspek keselamatan, kualiti dan tuntutan yang digunakan bagi sesuatu produk kosmetik yang dipasarkan. Sebarang maklumat terkini yang berkaitan dengan isu-isu keselamatan sesuatu produk akan dinilai dan pihak kementerian akan mengambil tindakan regulatori yang sewajarnya jika diperlukan. Pengguna boleh membuat aduan kepada BPFK di talian 03-78835532/5534 atau email kepada potm@bpfk.gov.my jika terdapat sebarang keraguan terhadap kualiti produk kosmetik di pasaran.

 

EISAH BINTI A.RAHMAN
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi
Kementerian Kesihatan Malaysia