Amaran Kepada Orang Awam Mengenai Pengambilan Produk Tidak Berdaftar "Maajun Kuat Khasiat Sakit Pinggang"

Kategori berita: 
Tarikh terbit: 
Isnin, 8 Julai 2013

1.         Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengingatkan dan menasihatkan orang awam agar tidak membeli atau menggunakan PRODUK TIDAK BERDAFTAR yang dijual sebagai ubat tradisional melayu dan yang dilabel dengan nama ‘MAAJUN KUAT KHASIAT SAKIT PINGGANG’.

PERIHAL PRODUK DAN KESAN ADVERS YANG DILAPORKAN

2.         Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) telah menerima sebanyak dua (2) laporan kesan advers yang melibatkan produk Maajun Kuat Khasiat Sakit Pinggang. Kesan-kesan advers yang dilaporkan ialah ‘Cushing’s Syndrome’, lemah otot dan kesan advers kulit yang serius ‘Steven’s Johnson Syndrome’.

3.         Hasil ujian yang telah dilakukan oleh BPFK mendapati produk ini disyaki mengandungi dexamethasone iaitu sejenis kortikosteroid yang dikawal di bawah Akta Racun 1952. Label pada produk tersebut menyatakan bahawa ia berkhasiat untuk sakit-sakit lutut, sakit urat, letih, sakit bahu, bengkak-bengkak ringan, sakit pinggang dan lengu-lenguh seluruh badan. Label produk juga mengelirukan pengguna dengan menyatakan ianya hanya mengandungi ramuan semulajadi sahaja.

PERIHAL BAHAN RACUN BERJADUAL

4.         Dexamethasone adalah sejenis kortikosteroid dengan fungsi antiradang yang kuat dan biasa digunakan dalam rawatan alergi. Ia hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperolehi dari farmasi dengan preskripsi doktor kerana ia perlu diambil dengan dos yang sesuai mengikut keadaan pesakit. Dexamethasone tidak dibenarkan sebagai ramuan dalam ubat tradisional.

5.         Penggunaan dexamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius yang boleh membahayakan kesihatan seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi dan glaucoma. Pesakit juga boleh mengalami ‘Cushing’s Syndrome’ yang dicirikan dengan muka membulat (round face) dan bahagian atas badan membesar tetapi lengan dan kaki seolah mengecil.

PERINGATAN KEPADA PENJUAL DAN PENGEDAR PRODUK INI

6.         Sesiapa yang mempunyai stok produk ini dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan pemilikan untuk jualan produk-produk ini melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM

7.         Orang awam yang sedang menggunakan produk Maajun Kuat Khasiat Sakit Pinggang adalah dinasihatkan supaya SEGERA mendapatkan nasihat dan rawatan dari profesional kesihatan. Mereka juga diminta supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah tertipu dengan ubat-ubatan tradisional yang dijual pada harga tidak munasabah dengan tuntutan boleh menyembuhkan pelbagai penyakit.

8.         Pesakit yang mengidap penyakit kencing manis adalah dinasihatkan supaya tidak menggunakan produk ini kerana ia boleh menyebabkan paras gula dalam darah tidak terkawal dan seterusnya mengakibatkan komplikasi yang serius.

9.         Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai produk tidak berdaftar ini dinasihatkan supaya dapat menghubungi Bahagian Perkhidamatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-7841 3200 atau mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan atau e-mel kepada pharmacy1@moh.gov.my bagi menyalurkan maklumat agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membenteras pengedaran produk ini di pasaran.

10.       Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan menghubungi BPFK di talian 03-7883 5400 atau melayari laman sesawang www.bpfk.gov.my.

DATO’ EISAH BINTI ABDUL RAHMAN
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi
Kementerian Kesihatan Malaysia

 

 Lampiran Maajun Kuat Khasiat Sakit Pinggang