Berwaspada Dengan Iklan-iklan Haram

Kategori berita: 

KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
“BERWASPADA DENGAN IKLAN-IKLAN HARAM”

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merasa dukacita dengan penglibatan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dalam mengeluarkan pelbagai iklan haram produk kesihatan melalui media cetak, elektronik, internet, tiang-tiang lampu dan pengedaran risalah ditempat-tempat tumpuan awam. Iklan-iklan ini menawarkan janji-janji palsu seperti penawar kanser 100%, rawatan segera penyakit kencing manis, penurunan berat badan yang berterusan, peningkatan prestasi seksual, malahan sering memuatkan perkataan yang tidak sopan atau berunsur lucah semata-mata untuk mempengaruhi pengguna membeli produk mereka.

Dalam hal ini, KKM mengawal pengiklanan produk dan perkhidmatan kesihatan melalui Lembaga Iklan Ubat (LIU) yang ditubuhkan di bawah Akta Ubat (Iklan & Penjualan)1956. Bagi ubatan, hanya produk berdaftar (mempunyai nombor MAL), yang telah dinilai selamat untuk dimakan atau digunakan sahaja dibenarkan untuk diiklan.

Setiap iklan yang diluluskan oleh LIU akan diberi nombor siri yang perlu dipaparkan pada iklan tersebut contohnya KKLIU/1234/ABCDE. Iklan-iklan yang diberikan kelulusan adalah seperti ubat-ubatan tanpa preskripsi, supplemen dan ubat tradisional yang berdaftar dengan KKM. Iklan-iklan produk tersebut telah melalui proses penapisan, penilaian dan semakan oleh LIU sebelum diluluskan supaya maklumat yang sampai kepada pengguna adalah tidak mengelirukan, betul dan disokong dengan bukti yang sahih. Tuntutan perubatan yang dibenarkan adalah berdasarkan indikasi yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan paparannya mematuhi Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 serta Garis Panduan dan dan Polisi LIU.

Secara umumnya kawalan oleh LIU adalah seperti asas yang berikut:

  1. Semua iklan produk kesihatan perlu mendapatkan kelulusan dari LIU terlebih dahulu sebelum ia disiarkan dalam mana-mana bentuk media. Nombor kelulusan tersebut mesti dipaparkan di dalam iklan.

  2. Iklan produk kesihatan dan kecantikan dilarang sama sekali membuat tuntutan perubatan untuk tujuan pencegahan, rawatan atau diagnosis bagi 20 jenis penyakit yang telah disenaraikan di dalam Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956, iaitu penyakit atau kecacatan buah pinggang/ginjal, penyakit atau kecacatan jantung, diabetes (kencing manis), epilepsi atau sawan, lumpuh, tuberkulosis, astma, kusta, kanser/barah, pekak, penagihan dadah, hernia, penyakit mata, hipertensi (darah tinggi), kecacatan otak , kemandulan, kaku (Frigidity), lemah fungsi seks/impoten, penyakit venerus (cth AIDS, Hepatitis) dan kelemahan urat saraf, atau aduan atau kelemahan lain timbul daripada atau berhubung dengan perhubungan seks

  3. Selain itu iklan tidak dibenarkan membuat tuntutan superlative seperti, “Paling Hebat“, “Terbaik”, “Nombor 1“ dan lain-lain tuntutan yang memperbesar.

  4. Iklan produk kosmetik tidak boleh membuat tuntutan melampaui skop takrifan kosmetik di mana fungsi kosmetik adalah untuk membersih, menyegar dan mewangi dan mestilah tertakhluk kepada ‘Cosmetic Advertising Code’.

  5. Manakala iklan makanan/minuman kesihatan walaupun tidak di tapis oleh LIU tetapi perlulah mematuhi Akta Makanan 1983 dan iklan alat perubatan harus mematuhi Akta Peranti Perubatan 2012.

Iklan-iklan ini perlu dikawal untuk memastikan bahawa maklumat yang sampai kepada pengguna tidak mengelirukan, betul dan disokong dengan bukti-bukti yang sahih.

Walaubagaimana pun, KKM masih berhadapan dengan penyiaran iklan haram yang berleluasa akibat sikap peniaga yang mementingkan diri dan hanya ingin mengaut keuntungan. Iklan-iklan haram ini biasanya disiarkan di tempat tumpuan awam seperti di pondok-pondok bas, tiang-tiang lampu, melalui risalah atau internet. Iklan seperti ini tidak melalui proses penapisan dan penilaian oleh KKM. Diakui pihak berkuasa menghadapi kesukaran untuk mencegah iklan haram ini dari disiarkan sebegitu rupa kerana ianya tidak melalui saluran yang sah. Pihak media pula diharapkan supaya lebih bertanggungjawap terhadap penyiaran iklan bagi produk makanan kesihatan, alat perubatan dan kosmetik kerana iklan-iklan produk ini tidak perlu melalui proses tapisan dan penilaian oleh KKM. Iklan produk tersebut dengan tuntutan perubatan yang berlebihan harus ditolak atau sekurang-kurangnya dirujuk dahulu kepada KKM untuk dinilai.

Namun demikian, pihak KKM sentiasa menjalankan pemantauan berterusan ke atas iklan-iklan ini. Pada tahun 2011, KKM telah mengeluarkan sebanyak 204 surat amaran dan 42 kes lagi telah dirujuk untuk tindakan undang-undang. Sebanyak 41 kes telah selesai didakwa pada tahun 2011 yang melibatkan jumlah denda sebanyak RM 56,800.00. Sehingga bulan Mei 2012 pula, sebanyak 197 surat amaran telah dikeluarkan dan sebanyak 74 kes telah dirujuk untuk tindakan undang-undang. Sebanyak 24 kes telah selesai didakwa bagi tempoh Januari hingga Mei 2012 dan jumlah denda adalah sebanyak RM 24,500.00. Tindakan boleh diambil ke atas pengiklan dan juga media penerbit iklan tersebut.

Kementerian ini menasihatkan orang ramai sebagai pengguna supaya memainkan peranan yang penting bagi menangani isu ini kerana jika tiada permintaan maka tiadalah tawaran. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk bersikap bijak menilai dan tidak mudah terpedaya. Pastikan sesuatu iklan dengan tuntutan kesihatan itu mempunyai nombor kelulusan KKLIU sebelum membacanya. Orang ramai diminta berhenti membeli produk kesihatan daripada sumber yang berisiko seperti di kaki-kaki lima, gerai-gerai dan dari internet. Hargailah kesihatan anda kerana kesihatan adalah sesuatu yang sangat berharga dan tidak harus diperjudikan dengan pengambilan produk dari sumber yang diragui. Produk-produk kesihatan yang tidak berdaftar, dicampurpalsu atau kosmetik tidak bernotifikasi adalah berbahaya dan boleh memudaratkan kesihatan.

Amaran juga ditujukan kepada mana-mana orang yang mengambil bahagian dalam penyiaran iklan tanpa kelulusan daripada LIU yang boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 5 Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.

Orang awam boleh menyemak senarai produk/kosmetik yang telah dirampas oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan melayari laman web www.pharmacy.gov.my->Awam ->Carian produk yang dicampurpalsu, dan status pendaftaran produk dan kosmetik bernotifikasi dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), KKM melalui laman web Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di www.bpfk.gov.my yang turut mengandungi keterangan produk yang telah di tarik balik dari pasaran.

YBHG. DATO’ SRI DR HASAN ABDUL RAHMAN
Ketua Pengarah Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia

13 Ogos 2012