|
PUASA DAN UBAT
Umat Islam berpuasa di dalam bulan Ramadan yang mulia. Biarpun berpuasa tidak
diwajibkan kepada mereka yang sakit masih ramai yang masih berhasrat menunaikan
tangungjawab ini.
Bagi yang sihat berpuasa tidak akan menimbulkan sebarang kesulitan. Mekanisme tubuh badan
yang biasa berupaya mengubahsuai mengikut perubahan dalam waktu makan dan tidur yang
berlaku di dalam bulan puasa. Bagaimanapun berpuasa boleh menimbulkan masalah kepada
mereka yang sakit dan perlu mengambil ubat. Bagi mereka ini, mereka perlu membuat
pengubahsuaian terhadap masa makan ubat atau mereka tidak boleh berpuasa sama-sekali.
Mereka juga perlu meminta pandangan doktor atau ahli farmasi mengenai pengambilan ubat
mereka dan pandangan ahli-ahli feqah tentang ibadat puasa dalam keadaan yang mereka hadapi
supaya dengan pengetahuan ini mereka dapat membuat keputusan yang sewajarnya samada untuk
berpuasa ataupun tidak.
Seperti sedia maklum ubat-ubatan yang diambil melalui mulut akan membatalkan puasa.
Ubat-ubat ini biasanya perlu diambil diantara sekali hingga empat kali sehari. Adalah
lebih baik sekiranya ubat-ubat yang perlu diambil empat kali sehari ditukarkan kepada ubat
yang kekerapan pengambilannya adalah kurang dari itu. Perkara ini boleh dibincangkan
dengan doktor yang merawat kerana pada masa ini kebanyakan ubat tidak perlu diambil begitu
kerap. Bagi ubat-ubat yang boleh diambil sekali , dua atau tiga kali sehari, masa
pengambilannya lebih mudah disesuaikan. Jika ubat tersebut perlu diambil tiga kali sehari
ianya boleh diambil pada waktu berbuka, sebelum tidur dan sewaktu bersahur. Ubat yang
diambil sekali atau dua kali sehari adalah lebih mudah untuk diubahsuaikan waktu
pengambilannya.
Apabila pesakit perlu menggunakan ubat beberapa kali sehari seperti menggunakan ubat titis
mata setiap dua jam sekali pesakit perlulah mengikut arahan ini dengan tepat. Jika tidak
akibatnya adalah sangat serius dan boleh menjejaskan penglihatan pesakit. Dalam situasi
begini doktor atau ahli farmasi mesti menasihatkan pesakit dan menerangkan kepada pesakit
tentang kepentingan menggunakan ubat mengikut arahan dan akibat yang akan timbul jika
tidak dilakukan.
Pesakit yang mengalami kencing manis dan menggunakan insulin untuk mengawal paras gula
mesti menggunakan insulin seperti yang diarahkan dan oleh kerana itu perlu makan secara
teratur. Dalam situasi begini adalah lebih baik sekiranya pesakit itu mendapat kebenaran
doktor untuk meneruskan puasa dan mengikut nasihat doktor dalam membuat beberapa
pengubahsuaian dalam tabiat pengambilan ubat. Kini terdapat beberapa kombinasi sediaan
insulin dengan masa permulaan tindakannya dan tempoh tindakannya berbeza-beza. Apa yang
perlu dilakukan oleh pesakit ialah berbincang dengan doktor yang merawat dan ahli farmasi
untuk menentukan samada terdapat mana-mana kombinasi yang sesuai yang boleh digunakan
mengikut keperluan pesakit. Namun sekiranya keadaan kencing manis pesakit adalah serius
dan terdapat beberapa komplikasi dan faktor risiko yang lain maka ada kemungkinan besar
mereka tidak akan dibenarkan berpuasa.
Pesakit yang tidak bergantung kepada insulin boleh berpuasa jika merasakan mereka boleh
melakukannya. Pendidikan pesakit adalah penting untuk pesakit-pesakit kencing manis.
Pendidikan perlu diberikan tentang pemantauan glukosa dan mengenali tanda-tanda amaran
kekurangan air dan gula didalam badan. Adalah penting bagi pesakit mengetahui bila untuk
berbuka puasa atau berjumpa doktor apabila timbul tanda-tanda tersebut.
Terdapat juga situasi lain dan penyakit lain yang memerlukan pendidikan dan peranan
pesakit sendiri dalam mengenali tanda-tanda yang memberi amaran kepada pesakit supaya
membatalkan puasa apabila perlu. Di sinilah peranan ahli farmasi penting untuk memberi
bimbingan kepada pesakit ketika memberikan ubat kepada mereka.
Sesetengah ubat akan bertindak dengan sebaik-baiknya jika diambil pada waktu-waktu
tertentu seperti ubat untuk mengawal lemak perlu diambil sebelum masuk tidur. Oleh itu
ubat ini perlu diambil seperti biasa juga di dalam bulan puasa. Diuretik (ubat yang
digunakan untuk mengeluarkan air berlebihan di dalam badan) perlu diambil pada waktu
sahur. Jika diambil pada waktu berbuka atau malam hari pesakit tidak akan dapat tidur
dengan nyenyak kerana akan bangun kencing berkali-kali pada waktu malam. Kini terdapat
produk-produk baru yang tidak perlu diberikan berulang-kali dalam sehari. Ahli farmasi
boleh memberitahu pesakit tentang produk-produk yang hanya perlu digunakan sekali atau dua
kali sahaja sehari. Pesakit juga boleh meminta doktor untuk menggunakan ubat yang begini
jika mereka menghadapi masalah menggunakan ubat.
Terdapat banyak ubatubatan yang digunakan dengan cara lain selain dari melalui mulut
seperti telinga, mata, hidung dan kulit, atau dimasukkan ke dalam rongga badan yang lain.
Ubat juga disuntik ke dalam otot atau saluran darah. Ubat-ubat untuk asma kadang-kala
perlu disedut dalam bentuk gas untuk sampai ke peparu. Samada penggunaan ubat selain dari
melalui mulut membatalkan puasa atau tidak adalah kurang jelas. Daripada buku oleh Sheikh
Muhammad Salih Al-Munajid menggunakan ubat melalui cara-cara ini tidak membatalkan puasa
kerana ubat mengikut pendapatnya bukanlah makanan. Suntikan juga tidak membatalkan puasa
kecuali suntikan tersebut adalah bertujuan untuk menggantikan makanan. Walaubagaimanapun
di Malaysia kajian terperinci tidak lagi dijalankan dan tidak ada satu panduan secara
rasmi yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berwajib tentang perkara ini. Oleh itu
terpulanglah kepada seseorang itu untuk mendapatkan pandangan atau nasihat pihak berkuasa
agama jika mereka merasa sangsi.
Dalam bulan puasa banyak pengubahsuaian yang perlu dibuat oleh pesakit dalam penggunaan
ubat mereka. Bukan sahaja masa pengambilan perlu diubah malahan kesan makanan ke atas
ubat, interaksi ubat-ubatan sendiri dan selangmasa yang perlu diambil antara ubat
memerlukan pemerhatian. Pesakit juga harus peka terhadap kesihatan diri dan perlu bersedia
untuk berbuka puasa sekiranya keadaan memerlukan kerana berpuasa sebagai satu tuntutan
ibadah seharusnya dilaksanakan dengan bersih dari seseorang individu Muslim untuk mematuhi
perintah Tuhannya. Ibadat itu adalah juga merupakan satu latihan untuk memantapkan
seseorang Muslim dari segi fizikal, mental dan rohani dan tentulah berpuasa bertujuan
menjaga kesihatan dan bukannya untuk memudaratkan diri sendiri. Oleh itu pesakit mestilah
mengambil berat tentang kesihatan mereka terutama bila berpuasa. Jika mereka menghadapi
masalah kesihatan mereka hendaklah sentiasa merujuk kepada doktor dan ahli farmasi
manakala masalah yang berhubung-kait dengan hukum agama dirujuk kepada ahli fekah. Dengan
ini pesakit dapat membuat keputusan berdasarkan pengetahuan yang ada.
|