Kenyataan Akhbar: Produk Tidak Berdaftar Di Pasaran - Ramuan Tradisional Asam Urat Mengandungi Racun Phenylbutazone

Kementerian Kesihatan memandang serius bahawa orang awam masih lagi membeli ubat-ubatan dan produk pemeliharaan kesihatan (health supplements) yang tidak berdaftar walaupun Kementerian telah berulang kali mengingatkan mereka supaya tidak membeli produk yang tidak berdaftar kerana buruk baiknya produk ini tidak pernah dinilai. Kerajaan telah menetapkan bahawa semua keluaran ubat-ubatan, produk pemeliharaan kesihatan dan kosmetik perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di bawah peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Jualan Dadah 1952, sebelum ianya dibenar dikilangkan, diimpot, dibekal atau dipasarkan.


Bahaya produk tidak berdaftar

Lanjutan dari lapuran kesan advers seperti simtom-simtom Steven’s Johnson Syndrome yang dialami oleh beberapa orang pesakit yang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak, Pegawai Penguatkuasa Farmasi Sarawak telah menjalankan siasatan dengan menemubual pesakit berkenaan. Menurut keterangan pesakit, kejadian kesan advers ini terjadi berikutan pesakit mengambil RAMUAN TRADISIONAL ASAM URAT untuk melegakan sakit sendi. Siasatan lanjut dan analisa terhadap sampel produk yang telah diperolehi dari pesakit mendapati produk tersebut mengandungi Phenylbutazone, iaitu sejenis ubat NSAID (nonsteroidal anti Inflammatory drug) yang diharamkan penggunaannya di Malaysia. Orang awam yang menggunakan RAMUAN TRADISIONAL ASAM URAT adalah terdedah kepada bahaya kesan sampingan Phenylbutazone seperti pendarahan dalam perut, kerosakan hati, buah pinggang dan organ-organ lain, mengganggu sistem jantung, sistem pernafasan dan ulser. Phenylbutazone juga boleh menyebabkan Steven’s Johnson Syndrome dengan ciri-ciri seperti kulit menggelupas, gatal dan kelihatan terbakar, pecah dan berdarah serta simtom-simtom seperti muntah, cirit birit, kencing berdarah,kerengsaan kulit , pening dan kabur penglihatan. RAMUAN TRADISIONAL ASAM URAT ini dijual dengan tuntutan kononnya dapat memberi kesan cepat dan bagus untuk menghilangkan rasa sakit seperti sakit sendi dan sakit lutut. Oleh yang demikian, penjualannya mendapat sambutan yang hangat terutamanya dikalangan warga tua.


Mengurangkan permintaan ke atas produk tidak berdaftar

Tindakan penguatkuasa sahaja kurang berkesan sekiranya permintaan ke atas ubat tidak berdaftar ini masih tinggi. Orang ramai perlu sedar akan bahaya mengambil ubat-ubatan yang tidak berdaftar dengan PBKD. Orang ramai adalah diingatkan supaya memeriksa produk yang dibeli untuk memastikan ianya berdaftar dengan memeriksa nombor pendaftaran yang bermula dengan MAL diikuti dengan 8 angka dan diakhiri dengan huruf ‘A’, ‘X’ atau ‘T’ [bergantung pada kandungan produk]. Produk yang berdaftar juga mempunyai label keselamatan ‘hologram’. Jika terdapat sebarang keraguan mengenai nombor pendaftaran, orang awam boleh berhubung terus dengan dengan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-79682200 sambungan 2215 atau menyemak sendiri di laman web Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan iaitu www.bpfk.gov.my. Pertanyaan juga boleh dihantar kepada pharmacy1@pharmacy.gov.my.


Penguatkuasaan

Pegawai-pegawai Penguatkuasa Farmasi Kementerian Kesihatan sentiasa menjalankan pemeriksaan ke atas premis-premis yang menjual ubat-ubatan, klinik-klinik dan Farmasi untuk mempastikan hanya ubat yang berdaftar sahaja yang dijual atau dibekalkan kepada orang awam. Serbuan juga telah dibuat ke atas premis-premis yang disyaki menjalankan pangilangan tanpa lesen dan pembekalan keluaran tidak berdaftar. Pada tahun 2004 keluaran tidak berdaftar bernilai RM20,623,112 telah dirampas oleh Cawangan-cawangan Penguatkuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan di seluruh Negara berbanding dengan rampasan bernilai RM6,432,008 pada tahun 2003.

Kementerian Kesihatan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang didapati membekalkan atau menjual produk yang tidak berdaftar. Penjualan dan pembekalan produk yang tidak berdaftar adalah satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan jika disabitkan kesalahan, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000.00 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000.00 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya. Syarikat yang terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000.00 untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM 100,000.00 untuk kesalahan berikutnya.